TARANNUM AL-QURAN
Pada satu petang, saya mendapat panggilan
telefon daripada seorang individu yang saya anggap sebagai kakak mintak
tolong saya carikan bahan untuk assignment tentang tarannum. Saya buntu
sebab antara ilmu yang tidak saya kuasai ialah ilmu tarannum dan
qira’at. Saya langsung tidak mengetahui kedua-dua bidang ini. Syukur
pada Allah, saya dipertemukan dengan Ustaz Faizan bin Haji Tajuid (Imam
Pusat Islam UiTM Seri Iskandar), beliau yang banyak memberi bahan-bahan
tersebut kepada saya.
Saya berpegang kepada integriti akademik.
Ini bukan hasil daripada saya tetapi saya ambil daripada beberapa kertas
kerja kursus tahsin al-Quran yang telah saya nyatakan di bahagian
rujukan. Saya menyedari ramai yang sukar untuk mendapatkan bahan-bahan
ini, justeru saya taip dan uploadkan semoga ia bermanfaat. Ilmu itu hak
Allah…sama-samalah kita berkongsi…jika anda mengambil bahan-bahan ini,
tolong jangan tulis nama saya, tetapi tulis nama individu yang telah
saya nyatakan di halaman rujukan.
1. PENGENALAN
Tarannum adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tarannama,
yatarannamu tarannum yang membawa maksud berdendang atau menyanyi. Dr
Ruuhi al-Balbaki, pakar bahasa Arab pula menyatakan bahawa kata akar
bagi perkataan tarannum ini ialah rannama, yurannimu, tarnim yang
membawa maksud “intonatian, modulation, recital, chanting, singing and
humming” iaitu yang merangkumi maksud intonasi, nyanyian dan bacaan yang
baik.
Tarannum jika ditinjau daripada perspektif ilmu
adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses
nada, rentak dan irama tertentu. Yang dimaksudkan dengan nada, rentak
dan irama ialah:
Nada: tingkatan atau tekanan bunyi suara.
Rentak: pergerakan yang menghidupkan bunyi suara.
Irama: alunan atau bentuk bunyi.
Tarannum juga diistilahkan sebagai satu ilmu atau kaedah seni suara
yang yang dibunyikan menerusi nada, rentak dan irama yang sangat lunak
berdasarkan kepada kaedah tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi
sesuatu bacaan khususnya bacaan al-Quran.
Di Malaysia kaedah ini dikenali dengan nama Tarannum bi al-Quran kerana bersempena sepotong hadis Rasulullah iaitu:
ما أذن الله لشىء ما أذن لنبى حسن الترنم بالقرأن. (رواه البخارى)
"Apa
yang diizinkan Allah atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan kepada
nabinya yang selalu mengelokkan lagu (tarannum) bacaan al-Quran".
2. SEJARAH TARANNUM
Rasulullah SAW menerima al-Quran secara berperingkat bermula
daripada tahun 610 masihi. Baginda memerintahkan umatnya membaca
Al-Quran dengan suara yang baik. Hasil daripada galakan ini, lahirlah
generasi sahabat yang dikenali sebagai qari yang terkenal seperti
Abdullah bin Mas’ud, Abu Musa Asy’ari dan beberapa sahabat besar yang
lain. Kemudian ilmu ini dikembangkan ke serata pelusuk tanah arab dan
hasilnya pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah b Qis
di Kufah (62 hijrah). Abdullah b Saib di Mekah (70 hijrah) dan
lain-lain. Begitulah sejarah pembacaan Al-Quran bertarannum yang terus
berkembang sehingga ke hari ini.
Oleh kerana tarannum
sesuatu yang bersifat seni pendengaran (sima’i), maka Jumhur qurra
bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan
berlagu Rasulullah SAW sampai kepada umat Islam yang ada pada hari ini.
Ketika zaman-zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu
Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran (mazhab).
Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai
berbagai aliran yang popular antaranya:
A. Misri iaitu seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari-qari daripada Mesir dan kawasan sekitarnya.
B. Hijazi ialah seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari-qari daripada kawasan sekitar Mekah dan Madinah.
C. Iraqi seni lagu al-Quran yang dipopularkan oleh qari-qari daripada Iraq dan kawasan sekitarnya.
D. Kurdi yang dipopularkan oleh qurra disekitar Iraq dan Turki.
E. ‘Ajami iaitu aliran yang dipopularkan oleh qurra yang bukan berketurunan Arab seperti Iran dan beberapa Negara lain.
Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia
ialah aliran Misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan
mengubah suai tarannum-tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu
maqamat itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta
mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.
PERBANDINGAN ANTARA GAYA BACAAN ALIRAN HIJAZI DAN ALIRAN MISRI
Aliran Hijazi
Aliran ini dikaitkan dengan persekitaran dan suasana tempatan di Mekah
dan Madinah. Antara ciri geografi di kawasan ini ialah kawasannya yang
berpadang pasir, bentuk muka buminya yang berbukit dan kebiasaannya suhu
di kawasan ini adalah tinggi hingga pada satu tahap boleh mencapai 40
darjah celcius. Oleh itu gaya bacaan dan irama bagi aliran hijazi ialah
lincah, nada suara yang tinggi kehangatan.
Aliran Misri
Manakala aliran misri pula dikaitkan dengan suasana yang lebih tenang
dan damai kerana Negara Mesir terletak di lembah sungai Nil yang subur
menghijau dengan tanaman dan bersuhu sederhana berbanding suhu di
kawasan Mekah dan Madinah. Justeru kita dapat lihat irama dan rentak
yang dihasilkan lebih lembut dengan lenggok suara yang sederhana.
ASAL ILHAM TARANNUM
Manusia yang berjiwa seni selalulah mendapat idea-idea dari
persekitarannya. Sejak zaman silam, pengaruh bunyi geseran kayu, bunyi
tiupan angin, bunyi kicauan burung, bunyi air mengalir dan lain-lain
telah mencetuskan idea untuk membuat lagu ataupun didalam bahasa arab
disebut At-Tarannum, Al-Nagham, ataupun ilmu Al-Maqamat.
HUKUM ASAS BERTARANNUM
Berdasarkan perbahasan ulama’, kita dapat memahami bahawa hukum bertarannum adalah seperti berikut;
1. Fardhu (kifayah) – jika hanya dengan berlagu sahajalah masyarakat ingin mendekati Al-Quran.
2. Sunat – jika dengan berlagu boleh membantu kesempurnaan hati.
3. Harus – untuk mengambil keseronokan mendengar alunan yang indah.
4. Makruh – jika dengan berlagu tiada langsung kebaikan keagamaan diperolehi.
5.
Haram – jika merosakkan hukum-hukum tajwid, meniru-niru lagu keagamaan
lain, meniru-niru lagu penyanyi-penyanyi yang hanya melekakan dan
lain-lain.
Sabda RasuluLlah SAW:
اقرؤوا القرأن بلحون العرب
وأصواتها، وإياكم ولحون أهل الكتابين وأهل الفسق، فإنه سيجئ بعدي قوم
يرجعون بالقرأن ترجيع الغناء والرهبانية والنوح. لا يجاوز حناجزهم مفتونة
قلوبهم وقلوب من يعجبهم شأنهم. (رواه الطبرني والبيهقي)
Bacalah
al-Quran itu dengan gaya lagu dan suara yang berlahjah Arab dan jangan
sekali-kali menbaca dengan lagu dan suara yang berlahjah keYahudian atau
keNasranian. Demikian juga lagu-lagu ahli fasik (Biduan dan Biduanita).
Maka sesungguhnya sepeninggalanku nanti, akan muncul satu golongan yang
sengaja membaca al-Quran dengan lagu-lagu yang dipopularkan sebagai
nyanyian penghibur, pendeta dan perintih yang tiada melampaui khalkum
mereka, hati mereka sudah terfitnah, apa lagi hati mereka yang
mengkaguminya.
Kata Ibnu Kathir: “Bahawasanya
(berlagu) yang dikehendaki mengikut hukum syarak hanyalah mengelokkan
suara yang menimbulkan rasa penghayatan (tadabbur), kefahaman,
kekhusyukan, kerendahan hati serta memandu kearah ketaatan kepada Allah
SWT.”
PEMBAHAGIAN ILMU TARANNUM
زينوا القرأن بأصواتكم (ابو داوود).
Hendaklah kamu menghiasi bacaan (mencantikkan) bacaan Al-Quran dengan suara-suara kamu (dengan mempelbagaikan suara kamu).
Tarannum adalah perhiasan kepada bacaan Al-Quran. Tarannum
sangat berkait rapat dengan suara kerana dari suara yang elok dan
tersusunlah lahirnya tarannum.
Tarannum secara umumnya terbahagi kepada dua kategori:
a).
Tarannum bit Tahqiq – Tarannum yang dibaca dengan kadar tahqiq menurut
kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh Qari-qari
mesir muktabar seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan lain-lain.
Kategori ini digunapakai di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat
Kebangsaan dan Antarabangsa.
b). Tarannum bit Tadwir – Tarannum yang
dibaca dengan kadar Tadwir menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori
ini diamalkan oleh oleh Imam-imam Makkah Al-Mukarramah dan Madinah
Al-Munawwarah seperti Fadhilatud Duktur Abdur Rahman bin Abdul Aziz
Al-sudais dan lain-lain.
ASAS ALIRAN TARANNUM
Aliran tarannum Hijazi popular di dunia Islam sebelum tahun 1940-an.
Lagu-lagu asas mereka boleh diketahui dengan kata-kata “Bihumurin
jasad”
1. Banjakah.
2. Husaini.
3. Mayyah.
4. Rakbi.
5. Jiharkah.
6. Sikah.
7. Dukah.
Selain itu terdapat pula lagu-lagu cabang seperti Ruma, Ushshak. Sun’ani, Yaman Hijaz, Hirab dan lain-lain.
Asas Tarannum Aliran Misri
Selepas tahun 1940-an hingga ke hari ini, aliran tarannum Misri pulalah yang popular. Tarannum asas aliran Misri ialah:
1. Al-Bayyati.
2. Soba.
3. Hijaz.
4. Nahawand.
5. Rast.
6. Sikah.
7. Jiharkah.
Selanjutnya terdapat pula tarannum-tarannum seperti Husaini,
Huzam, Farahfaza, Shad, Nawa Athar, Rahat El Arwah dan lain-lain yang
kini dianggap sebagai lagu-lagu cabang (furu).
Terdapat
tarannum-tarannum yang bersamaan nama di dalam aliran Hijazi dan aliran
Misri, malah terdapat juga tarannum Misri yang diberi nama Hijaz. Ini
menunjukkan keterbukaan dan keilmuan qari-qari Mesir dalam mengambil,
mengubahsuai dan memperbaharui kearah mencantikkan lagi
tarannum-tarannum sesuai dengan suasana, peredaran zaman dan citarasa
terkini, tetapi tidaklah sampai menghilangkan identiti asal dan yang
paling utama, keutuhan tarannum bil Quran yang berlahjah arab.
Untuk bertarannum, para Qari semestilah mengenali beberapa komponan penting untuk mengarabkan bacaan mereka .
2.3.1 Harkat (suatu alunan irama yang mengandungi beberapa qit’ah dan satu mahattah).
2.3.2 Qit’ah (suatu alunan irama pendek tanpa mahattah).
2.3.3 Burdah asli dan sina’i (bunga-bunga suara yang terjadi dengan sendirinya dan yang digubah).
2.3.4 Mahattah (suatu bentuk atau gaya penghujung harkat yang sempurna).
2.3.5 Salalim su’ud dan nuzul (suara mendaki dan menurun – mengikut ilmu tangga-tangga suara ).
2.3.6 Ihtilal al-lahn (kemahiran mencondongkan suara).
2.3.7 Wuslah al-mumathalah (kemahiran menggabungkan alunan beberapa tarannum yang sesuai di dalam satu harkat).
FALSAFAH TARANNUM BI AL-QURAN
Melagukan
bacaan al-Quran adalah satu usaha ke arah pencapaian amalan membaca
al-Quran yang bernilai tinggi bagi menhubungkan rasa hati pembaca dengan
pendengar kepada keagungan Allah S.W.T. Bertarannum tanpa memahami
falsafahnya adalah satu penyelewengan. Antara Falsafah tarannum ialah:
1.
Untuk menghormati status al-Quran sebagai wahyu yang paling agung.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “diturunkan al-Quran itu dengan
penuh kebesaran dan kehormatan”. (Riwayat Muslim)
2. Untuk
menambahkan kekusyukan dan keinsafan kepada pembaca dan pendengar
terhadap ayat-ayat al-Quran sebagaimana firman Allah Ta’ala yang
bermaksud: “Mereka segera menundukkan muka sambil menangis sedangkan
al-quran itu boleh menambahkan kekusyukan dan keinsafan”. (Surah
al-Isra’:ayat 109)
3. Untuk mendapat rahmat Allah SWT. Firman
Allah Ta’ala bermaksud: “Dan apabila al-Quran di baca hendaklah kamu
mendengarnya dan diam (untuk memerhati dan dengar bacaannya) semoga kamu
beroleh rahmat Allah Ta’ala”. (Surah al-A’raf:ayat 204).
4. Untuk
menambah keunikan seni bacaan al-Quran itu, seperti sabda Rasulullah
SAW: “ Perelokkan bacaan al-Quran itu dengan keelokan suara kamu.
Sesungguhnya dengan suara yang elok sahaja mampu menambahkan keindahan
seni al-Quran”.
PENGENALAN TARANNUM DI MALAYSIA
Qari-qari dari Malaysia masa kini telah mempopularkan bacaan al-Quran dengan tarannum yang disusun seperti berikut:
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
4. Bayyati, Soba, Nahwand, Rast dan Sikah.
5. Bayyati, Iraqi, Hijaz, Sikah dan Rast.
50%
daripada qari di Malaysia membaca dengan bahagian (1) dan (2), 30% pula
membaca dengan bacaan mengikut turutan (3), 15% lagi membaca dengan
bahagian (4) dan 5% lagi membaca dengan bacaan mengikut turutan (5).
Namun mengikut seorang pakar tarannum di Malaysia, Hj Nik Jaafar bin
Nik Ismail; susunan lagu-lagu yang popular di Malaysia ialah
1. Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand dan Rast.
2. Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast dan Sikah.
3. Bayyati, Nahwand, Rast, Sikah dan Jaharkah.
Bagi lagu-lagu lain hanya sebagai selingan sahaja.
PENGENALAN JENIS TARANNUM SECARA RINGKAS
TARANNUM BAYYATI
Perkataan bayyati adalah dari bahasa Arab yang bererti rumah atau tempat kediaman.
Sifat Tarannum Al-Bayyati
• Lembut disamping tegas.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Harmoni.
• Berunsur ketenangan.
Peranan Tarannum Al-Bayyati
• Memantapkan persembahan.
• Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.
• Pengukuran kepada tarannum sesudahnya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM SOBA
Bermaksud rindu. dipopularkan kini oleh qari mesir
Sifat Tarannum Soba
• Gerak ringan meresap jiwa.
• Alunan lembut yang mendayu.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Sesuai dengan ayat memohon, merayu, merintih dan sebagainya.
Peranan Tarannum Soba
• Menenangkan persembahan.
• Membawa kekhusyukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM HIJAZ
Hijaz ialah sebuah kawasan di dalam Arab Saudi. Sangat popular
sebagai suatu cabang pelopor tarannum dahulu. Tetapi kini tarannum hijaz
telah diubahsuai oleh Qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Hijaz
• Gerak lambat tapi berkesan.
• Ketegasan pendorong semangat.
• Kelincahan menghidupkan persembahan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan ayat perintah, tegas atau marah.
Peranan Tarannum Hijaz.
• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Memberi tenaga kepada tarannum sesudahnya.
• Menunjukkan Ketegasan kepada mesej Al-Quran.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM NAHAWAND
Nahawand juga adalah nama suatu tempat. Terletak di Hamadan
Parsi (kini Iran). Tetapi kini tarannum nahawand telah diubahsuai oleh
qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Nahawand
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan bersopan.
• Sederhana memikat jiwa.
• Kehalusan seni.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
Peranan Tarannum Nahawand
• Melembutkan bacaan.
• Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar.
• Sesuai dengan ayat memohon, bercerita dan sebagainya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM RAST
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari
Hijazi. Tetapi kini tarannum rast telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir
mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Rast
• Gerak lembut disamping ketegasan.
• Kelembutan alunan.
• Lincah menyemarakkan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan mana-mana bentuk ayat.
Peranan Tarannum Rast
• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi tenaga kepada tarannum berikutnya.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM SIKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari
Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini
tarannum Sikah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq
budaya mereka.
Sifat Tarannum Sikah
• Gerak lambat meyakinkan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Berciri kesedihan dan kerintihan.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
Peranan Tarannum Sikah
• Melembutkan persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM JIHARKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari
Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini
tarannum Jiharkah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq
budaya mereka.
Sifat Tarannum Jiharkah
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Harmoni.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
Peranan Tarannum Jiharkah
• Menenangkan ketegangan persembahan.
• Melembutkan persembahan.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
RUJUKAN
Husain Unang, 2005, Qamus al-Tullab, Kuala Lumpur: Darul Fikir, hlm 289.
Ruuhi al-Balbaki, 2000, al-Mawrid, Beirut: Dar al-Ilm li al-Maliyin, hlm 310.
Che
Yahya Daud, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin Bacaan al-Quran
Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007, JAKIM, hlm. 7.
Syeikh Fatihi Hassan Maliji (2007), Tarannum Arabiah Misriah Muktabar, Kota Bharu: Pustaka Aman Press, hlm 23.
Hassan
al-Shukri bin Abdullah, 2008, Pengenalan Asas Tarannum, Kursus Sijil
Tinggi Pengajian Tarannum, Darul Quran:Kuala Kubu, hlm. 5
Che Yahya
Daud, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin Bacaan al-Quran
Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007, JAKIM, hlm. 7.
Ustaz Faizan Haji Tajuid, Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Negeri Perak tahun 2008 dan 2009, Temubual, 1 November 2009.
Hj.
Nik Ja’far Bin Nik Ismail, 2007, Tarannum, Kertas Kerja Kursus Tahsin
Bacaan al-Quran Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13 September 2007,
JAKIM, hlm. 7.
Radzi Kamarul Hailan, 2007, Tarannum, Kertas Kerja
Kursus Tahsin Bacaan al-Quran Peringkat Zon Tengah dan Selatan, 10-13
September 2007, JAKIM, hlm. 2-7.
Monday, 2 June 2014
Jom Belajar Jawi
Pengajaran
Jawi mempunyai kaedah pengajaran yang khusus dan tersendiri. Namun ramai yang beranggapan kaedah mengajar jawi sama seperti kaedah pengajaran mata pelajaran lain dalam Pendidikan Islam. Tanggapan
sebegitu kurang tepat. Kaedah pengajaran jawi yang disarankan oleh
pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah
diberi pendedahan secara khusus kepada bakal-bakal guru Pendidikan Islam
dan
j-QAF (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006). Kaedah-kaedah tersebut
ialah
kaedah pandang sebut, kaedah huruf (abjad), kaedah bunyi (fonetik),
kaedah mengeja/
membatang, kaedah imlak, kaedah latih tubi, kaedah permainan dan kaedah
nyanyian.
Bil.
|
Kaedah
|
Huraian
|
1.
|
Pandang Sebut
|
· Membunyikan
perkataan atau suku kata berdasarkan gambar.
· Membunyikan ayat
berdasarkan gambar yang ada cerita.
· Tidak
memfokuskan kepada pengajaran bunyi huruf dan tidak mengeja.
· Kaedah paling
popular dalam pengajaran jawi dan menjimatkan masa guru.
|
2.
|
Kaedah Huruf (Abjad)
|
· Asas bacaan
ialah bunyi pada setiap huruf yang membentuk perkataan.
· Memperkenalkan
kesemua 37 huruf jawi, huruf vokal dan huruf konsonan.
· Cantuman huruf
konsonan vokal membentuk bunyi dalam suku kata seterusnya membentuk
perkataan.
· Membolehkan
murid dapat mengeja dan membaca semua perkataan.
· Mengambil masa
yang lama untuk mengeja setiap perkataan.
· Kaedah asas
yang paling tua digunakan.
|
3.
|
Kaedah Bunyi (Fonetik)
|
· Asas bacaan
yang menekankan hubungan simbol dan bunyi.
· Banyak
menggunakan teknik asiosasi bunyi dan asiosasi gambar seperti bunyi ‘eee’
bagi jijik dan ‘aa’ bagi pedas/ panas.
· Memperkenalkan
bunyi-bunyi asas dahulu sebelum memperkenalkan semua bunyi.
· Amat sesuai
diajar kepada kanak-kanak yang baru mengenali huruf jawi.
|
4.
|
Mengeja/ Membatang
|
· Mengeja dengan
menyebut satu demi satu huruf yang membentuk suku kata.
· Mengeja dan
membunyikan huruf secara individu, kumpulan dan kelas.
· Menggabungkan
suku kata dieja dan membentuk perkataan.
· Mengeja dan
menulis perkataan yang dibentuk.
|
5.
|
Imlak
|
· Melibatkan
kemahiran mendengar dan menulis secara mekanisme.
· Menyalin unit
bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat ataupun wacana.
· Membaca dengan
suara yang lantang sumber yang ditulis.
· Menggunakan
kemahiran mendengar dengan jelas dan melatih kemahiran menyebut dengan
intonasi yang betul.
|
6.
|
Latih-tubi
|
· Juga dikenali
dengan kaedah ulangan, tikrar dan amat hampir dengan kaedah hafazan.
· Aktiviti
mengulangi fakta dan kecekapan kemahiran yang dipelajari.
· Mampu mencapai
taraf penguasaan kemahiran dan mengekalkannya.
|
7.
|
Permainan
|
· Satu kaedah
melatih murid dengan menarik dan praktis.
· Dapat
mengembangkan banyak kemahiran murid-murid.
· Amat sesuai
dengan murid-murid peringkat rendah.
· Amat berkesan
dalam memupuk minat, tujuan dan impak pengajaran.
|
8.
|
Nyanyian/ Nasyid
|
· Selari dengan
minat dan tahap murid sekolah rendah yang sangat suka menyanyi/ bernasyid.
· Perlu
disesuaikan dengan isi kandungan pengajaran seperti lagu ‘aa, ba, ta’ dan
‘Rasa Sayang Jawi’.
· Amat berkesan
dalam membantu murid-murid mengingati, huruf-huruf jawi dan mengeja
perkataan.
|
Walaupun
guru diminta memilih pendekatan dan kaedah yang paling sesuai bagi proses pengajaran
dan pembelajaran mereka. Tidaklah bererti mereka hanya perlu menggunakan
satu-satunya kaedah yang difikirkan terbaik dalam setiap pengajaran dan
pembelajaran. Bahkan pengajaran dan pembelajaran yang baik akan mempelbagaikan
penggunaan kaedah dalam setiap langkah pengajaran. Justeru pemahaman guru
terhadap setiap pendekatan dan kaedah yang digunakan perlu jelas, betul dan
mantap.
Bagi
menjamin keberkesanan Model Kelas Pemulihan Jawi pula, guru-guru jQAF amat
digalakkan menggunakan kaedah permainan dan nyanyian semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran mereka. Justeru itulah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
membekalkan berbagai bahan bantu mengajar (BBM) kepada guru-guru j-QAF untuk
diaplikasikan di dalam kelas Pemulihan Jawi. Antara bahan permainan yang
dibekalkan ialah permainan Boling, Tenteng, Kad Huruf, Kereta Api, Pancing
Ikan, Rumah Merpati dan Senawi atau Sahibba (Kementerian Pelajaran Malaysia
2006).
[Rujukan : Asyraf Ridwan 2013 - Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013]
Subscribe to:
Posts (Atom)