Monday 2 June 2014

Jom Belajar Jawi

Pengajaran Jawi mempunyai kaedah pengajaran yang khusus dan tersendiri. Namun ramai yang beranggapan kaedah mengajar jawi sama seperti kaedah pengajaran mata pelajaran lain dalam Pendidikan Islam. Tanggapan sebegitu kurang tepat. Kaedah pengajaran jawi yang disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah diberi pendedahan secara khusus kepada bakal-bakal guru Pendidikan Islam dan j-QAF (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006). Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah pandang sebut, kaedah huruf (abjad), kaedah bunyi (fonetik), kaedah mengeja/ membatang, kaedah imlak, kaedah latih tubi, kaedah permainan dan kaedah nyanyian. 

           
Bil.
Kaedah
Huraian
1.
Pandang Sebut
·   Membunyikan perkataan atau suku kata berdasarkan gambar.
·   Membunyikan ayat berdasarkan gambar yang ada cerita.
·   Tidak memfokuskan kepada pengajaran bunyi huruf dan tidak mengeja.
·   Kaedah paling popular dalam pengajaran jawi dan menjimatkan masa guru.
2.
Kaedah Huruf (Abjad)
·   Asas bacaan ialah bunyi pada setiap huruf yang membentuk perkataan.
·   Memperkenalkan kesemua 37 huruf jawi, huruf vokal dan huruf konsonan.
·   Cantuman huruf konsonan vokal membentuk bunyi dalam suku kata seterusnya membentuk perkataan.
·   Membolehkan murid dapat mengeja dan membaca semua perkataan.
·   Mengambil masa yang lama untuk mengeja setiap perkataan.
·   Kaedah asas yang paling tua digunakan.
3.
Kaedah Bunyi (Fonetik)
·   Asas bacaan yang menekankan hubungan simbol dan bunyi.
·   Banyak menggunakan teknik asiosasi bunyi dan asiosasi gambar seperti bunyi ‘eee’ bagi jijik dan ‘aa’ bagi pedas/ panas.
·   Memperkenalkan bunyi-bunyi asas dahulu sebelum memperkenalkan semua bunyi.
·   Amat sesuai diajar kepada kanak-kanak yang baru mengenali huruf jawi.
4.
Mengeja/ Membatang
·   Mengeja dengan menyebut satu demi satu huruf yang membentuk suku kata.
·   Mengeja dan membunyikan huruf secara individu, kumpulan dan kelas.
·   Menggabungkan suku kata dieja dan membentuk perkataan.
·   Mengeja dan menulis perkataan yang dibentuk.
5.
Imlak
·   Melibatkan kemahiran mendengar dan menulis secara mekanisme.
·   Menyalin unit bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat ataupun wacana.
·   Membaca dengan suara yang lantang sumber yang ditulis.
·   Menggunakan kemahiran mendengar dengan jelas dan melatih kemahiran menyebut dengan intonasi yang betul.
6.
Latih-tubi
·   Juga dikenali dengan kaedah ulangan, tikrar dan amat hampir dengan kaedah hafazan.
·   Aktiviti mengulangi fakta dan kecekapan kemahiran yang dipelajari.
·   Mampu mencapai taraf penguasaan kemahiran dan mengekalkannya.
7.
Permainan
·   Satu kaedah melatih murid dengan menarik dan praktis.
·   Dapat mengembangkan banyak kemahiran murid-murid.
·   Amat sesuai dengan murid-murid peringkat rendah.
·   Amat berkesan dalam memupuk minat, tujuan dan impak pengajaran.
8.
Nyanyian/ Nasyid
·   Selari dengan minat dan tahap murid sekolah rendah yang sangat suka menyanyi/ bernasyid.
·   Perlu disesuaikan dengan isi kandungan pengajaran seperti lagu ‘aa, ba, ta’ dan ‘Rasa Sayang Jawi’.
·   Amat berkesan dalam membantu murid-murid mengingati, huruf-huruf jawi dan mengeja perkataan.
            Walaupun guru diminta memilih pendekatan dan kaedah yang paling sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Tidaklah bererti mereka hanya perlu menggunakan satu-satunya kaedah yang difikirkan terbaik dalam setiap pengajaran dan pembelajaran. Bahkan pengajaran dan pembelajaran yang baik akan mempelbagaikan penggunaan kaedah dalam setiap langkah pengajaran. Justeru pemahaman guru terhadap setiap pendekatan dan kaedah yang digunakan perlu jelas, betul dan mantap.
            Bagi menjamin keberkesanan Model Kelas Pemulihan Jawi pula, guru-guru jQAF amat digalakkan menggunakan kaedah permainan dan nyanyian semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Justeru itulah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membekalkan berbagai bahan bantu mengajar (BBM) kepada guru-guru j-QAF untuk diaplikasikan di dalam kelas Pemulihan Jawi. Antara bahan permainan yang dibekalkan ialah permainan Boling, Tenteng, Kad Huruf, Kereta Api, Pancing Ikan, Rumah Merpati dan Senawi atau Sahibba (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006).  
[Rujukan : Asyraf Ridwan 2013 -  Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013]

2 comments: